Pages

Tips Cara Menjaga Barang Kemas

on Monday, May 28, 2012

Assalamualaikum dan Salam 1 Dunia... Jualan barang kemas di kedai-kedai emas biasanya meningkat berkali-kali ganda pada musim perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri. Harga emas yang semakin meningkat saban tahun tidak menghalang orang ramai untuk membeli barangan kemas tersebut. Jangan pandai memakai dan membeli barang kemas sahaja namun tidak tahu cara penjagaan barang kemas yang betul. Jom kita tengok apa tips cara menjaga barang kemas dari pengurus habib jewel.


Ini diakui sendiri oleh Penolong Pengurus Komunikasi Pemasaran Habib, Yasheedah Yashaiya, semasa ditemui di jauhari emas terunggul itu, beberapa hari sebelum menjelang hari lebaran. Menurut Yasheedah, memiliki barang kemas dengan rekaan terkini merupakan satu kepuasan bagi sesetengah orang. Bagi mereka, biar penat bekerja dan mengumpul wang asalkan dapat memiliki barang kemas idaman. Namun menurut Yasheedah, dalam keseronokan menyambut Hari Raya, ramai yang terlupa untuk menjaga keselamatan barang kemas mereka.


‘‘Ramai yang suka menyimpan barang kemas di rumah seperti di dalam almari, bekas tin, bantal dan sebagainya. Walaupun kita berjaya menyorokkan barang kemas namun pencuri boleh masuk ke dalam rumah dan menyelongkar seluruh rumah untuk mencari barang kemas.


‘‘Pencuri ini pandai, kita sangka mereka tak akan jumpa barang kemas yang kita simpan namun sebenarnya mereka ini seperti ada hidung yang boleh mencium ‘bau’ emas dan dapat mencarinya.


‘‘Barang kemas menjadi sasaran utama pencuri selain duit kerana barang kemas kecil dan mudah untuk mereka membawanya. Bagi mereka, kalau tak dapat duit, dapat barang kemas pun sudah cukup baik,’’ tambah Yasheedah.


Sebaik-baiknya kata beliau, sebelum meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung atau menziarahi saudara-mara, simpan barang kemas yang tidak mahu dipakai di dalam peti keselamatan di bank. Beliau menambah, biasanya kaum Melayu tidak suka menyimpan atau tidak tahu bagaimana hendak menyimpan barang kemas di dalam peti keselamatan di bank.


‘‘Jika seseorang itu mempunyai akaun di bank, mereka boleh memohon bagi mendapatkan sebuah peti keselamatan bagi simpanan barang kemas,’’ ujar Yasheedah.


Selain itu, barang kemas yang bercampur-campur dengan batu permata lain seperti berlian dalam satu bungkusan akan menyebabkan berlian bercalar dan tidak berkilat.


‘‘Begitu juga jika hendak menyimpan perhiasan diri daripada mutiara. Masukkan mutiara di dalam kertas tisu dan gulung. Mutiara ini sensitif, ia tidak boleh terkena air atau bahan asing kerana ia boleh ‘beranak’, iaitu timbul satu bintik di atas mutiara.


‘‘Cara yang paling baik ialah dengan mengasing-asingkan jenis barang kemas, iaitu emas putih sahaja, emas kuning, berlian, mutiara atau batu permata lain.


‘‘Contohnya, emas kuning tidak boleh bercampur dengan emas putih kerana akan menyebabkan emas putih tidak berkilat lagi,’’ kata Yasheedah.


Untuk itu, kata beliau, mereka yang mempunyai banyak barang kemas disyorkan untuk membeli beg khusus yang boleh menyimpan semua barang kemas. Beg tersebut mempunyai banyak ruang berbeza bagi menyimpan barang kemas seperti rantai, loket, gelang tangan, cincin, kerongsang dan sebagainya.


“Biasanya pada musim perayaan kami juga akan menghubungi pelanggan tetap mereka agar datang mendapatkan khidmat penjagaan barang kemas seperti mencuci, membaiki kancing, mengetatkan berlian dan sebagainya.


‘‘Barang kemas yang dibuat daripada emas 10 ini lembut. Kadang-kadang kita tidak sedar kancingnya dah haus dan mudah tercabut. Kadang-kadang ia akan terbuka sendiri dan kita tak perasan ia tercicir.


‘‘Jadi sebelum memakai barang kemas, periksa dahulu keadaan kancing atau cangkuk agar barang kemas tidak tercicir,’’ katanya lagi.

Tips Cara Menjaga Barang Kemas


1. Simpan barang kemas yang tidak mahu dipakai dalam peti keselamatan bank.

2. Asingkan jenis-jenis barang kemas semasa menyimpan.

3. Jangan simpan semua barang kemas dalam beg tangan semasa pergi beraya kerana takut tertinggal atau dicuri semasa orang ramai.

4. Cara membersihkan barang kemas – campurkan sabun dalam air panas dan masukkan barang kemas. Angkat bila air suam dan berus perlahan dengan berus gigi. Bilas dengan air sejuk dan biar kering.

5. Jika sorok barang kemas, jangan lupa di mana tempatnya.

6 Jangan pakaikan anak dengan barang kemas semasa hendak pergi membeli-belah kerana kemungkinan akan diragut.

7. Bila ke kedai emas, cari tempat letak kereta yang paling hampir.

8. Jangan pakai terlalu banyak barang kemas pada satu masa kerana rekaannya tidak jelas dan tidak cantik.

9. Barang kemas asas yang mesti ada – rantai, gelang, cincin dan kerongsang. Beli yang boleh dipakai dengan semua baju.

10. Bagi yang belum ada barang kemas, beli satu rantai tangan pintal kerana rekaannya evergreen, sesuai dengan semua baju dan cangkuknya selamat.
Ranking: 5

Coretan Hati Cik Tom: CIK TOM | Blog Suka Suki

Coretan Tips Cara Menjaga Barang Kemas di taip oleh CIK TOM Pada tarikh Monday, May 28, 2012. Menaip segala ilham dari akal fikiran dan hati ke dunia alam cyber.

{ 0 comments... read them below or add one }

 
© Blog SUKA SUKI | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO